Mesin spiritual - Merapatkan jurang manusia dan mesin

PADA abad ke-21 ini, dunia telah mengalami banyak anjakan paradigma dalam pelbagai bidang. Jika dahulu orang memperkatakan tentang ekonomi Kia-Tsu sekarang kita perdebatkan tentang ekonomi berasaskan pengetahuan (K-ekonomi).

Dulu kita kenal dengan perkongsian perniagaan dan perniagaan konvensional, tetapi hari ini kita jumpa dengan situasi yang dipanggil perniagaan pintar dan e-dagang (perdagangan elekronik), dan lebih maju lagi kita melangkah ke m-dagang (perdagangan bergerak) yang berasaskan rangkaian telekomunikasi tanpa wayar.

Begitu juga dengan dunia teknologi maklumat atau umumnya IT telah memasuki era baru dengan terhasilnya satu pendekatan baru iaitu kehadiran teknik kecerdasan buatan (artificial intelligence).

Mungkin agak asing bila dengar perkataan itu di Malaysia pada tahun 1990-an, tetapi pada abad sekarang ini, kecerdasan buatan (AI) telah mula diaplikasikan dalam hampir semua bidang.

Bermula dari bidang kejuruteraan hinggalah ke bidang sastera. Apakah yang dimaksudkan dengan kecerdasan buatan?

Kebanyakan buku tidak dapat memberikan definisi kepintaran buatan secara tepat kerana ia terlalu subjektif.

Menurut seorang penyelidik awal mengenai kepintaran buatan iaitu Marvin Minsky, kepintaran buatan adalah satu cabang sains untuk membolehkan kepintaran manusia itu dipindahkan kepada mesin supaya ia boleh berinteraksi seperti manusia.

Manakala McDermott dan Charniak pula mendefinisikan pula matlamat kepintaran buatan adalah untuk mencipta `manusia buatan'.

Jika satu ketika dahulu satu komputer memerlukan sumber yang cukup besar untuk melaksanakan suatu kerja (task).

Tetapi pada hari ini, bukan sahaja sumber yang digunakan sedikit tetapi komputer tersebut mampu menyelesaikan kerja-kerja tersebut tanpa bantuan daripada manusia.

Penghasilan barisan komputer Deep Blue oleh IBM telah mencabar kepintaran seorang manusia kerana menewaskan juara catur dunia iaitu Gary Kasparov pada bulan Mei 1997.

Bukankah itu satu petanda dimana kepintaran manusia telah diatasi oleh mesin? Kita lihat lagi dengan penghasilan cerita sains fiksyen seperti The Matrix, Terminator, Star Wars dan lain-lain.

Semuanya menunjukkan bahawa dunia pada masa akan datang akan dikawal oleh mesin-mesin pintar.

Tidak cukup di situ, penyelidikan terus dijalankan untuk mengkaji bagaimana hendak meletakkan emosi pada sesebuah mesin supaya ia boleh berinteraksi seperti manusia.

Jika konsep kepintaran telah berjaya dimiliki dan dikuasai oleh mesin, maka secara rasminya telah lulus dengan jayanya Ujian Turing yang telah diperkenalkan oleh Alan Turing pada tahun 1950.

Penyelidikan untuk meletakkan emosi pada mesin telah melahirkan satu bidang baru iaitu `Affective Computing' yang mana mesin-mesin boleh mempunyai kebolehan mengenal, memodel serta memahami emosi manusia.

Penyelidikan ini telah dijalankan di MIT Media Lab. BBC News Online 30 Ogos 2000 pula ada melaporkan yang mana robot telah belajar untuk menghasilkan anak dan penghasilan robot yang mempunyai rangsangan seks.

Walaupun kajian ini agak ganjil dan mustahil pada awalnya, namun ia hampir menjadi kenyataan dengan kemajuan teknik Algoritma Genetik dan Pengkomputeran DNA.

Ray Kurzweil merupakan penyelidik dan penulis buku mengenai mesin pintar telah membuat beberapa ramalan akan datang di antaranya ialah pada tahun 2009, beliau telah meramalkan bahawa komputer boleh melakukan ratus ribu juta pengiraan sesaat.

Menyamai

Manakala dijangkakan pada tahun 2019, kemampuan komputer boleh menyamai kapasiti dan kebolehan seperti otak manusia.

Secara tidak langsung interaksi antara manusia melalui isyarat dan komunikasi dua hala tidak dapat dibezakan kerana jurang manusia dan mesin semakin rapat.

Pada ketika ini semua proses pembelajaran akan dilaksanakan oleh `cikgu maya' yang terdiri dari perisian pintar untuk menggantikan buku-buku dan kertas-kertas.

Sistem pemanduan automatik akan dipasang sepanjang jalan dan hubungan manusia dan gaya pemanduan adalah semakin penting sebagai satu personaliti terautomatik.

Pada tahun 2049 pula, makanan bersaiz nano akan menjadi makanan utama sebagai kesihatan dan makanan sedia ada semakin tidak mempunyai zat.

Ramalan pada tahun 2072 pula satu bidang baru dijangka akan muncul iaitu `Picoengineering' iaitu pembangunan teknologi berasaskan skala pico meter akan menjadi kenyataan.

Oleh kerana kita sekarang telah mencapai tahap teknologi nano atau kejuruteraan nano, pada tahun 2099 Ray meramalkan tiada perbezaan yang ketara di antara manusia dan mesin.

Di mana pada masa itu, entiti hidup tidak semestinya mempunyai bentuk fizikal yang tetap, sebabnya Agen maya pada masa itu akan dianggap sebagai entiti hidup kerana mempunyai ciri-ciri kepintaran yang ada seperti manusia.

0 komentar:

Diberdayakan oleh Blogger.