Aplikasi Kepintaran Buatan (AI) Dalam Ekonomi Dan Pengurusan

Komputer & Teknologi

Oleh: Mohd Helmy Abd Wahab

Perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi telah mengubah paradigma pengurusan data dari sistem manual kepada sistem berkomputer. Peredaran zaman IT ini telah memberi implikasi kepada sesebuah organisasi khususnya dan negara umumnya. Satu ketika dahulu, kaedah pengurusan data secara manual, telah menyebabkan lambakan dokumen yang sukar untuk diuruskan.

Proses pelupusan dokumen lama mengambil masa yang panjang dan melalui pelbagai prosedur. Namun begitu, kehadiran teknologi berkomputer telah mengubah serta memudahkan lagi proses pengurusan data dengan lebih cekap dan pantas. Kematangan teknologi berkomputer telah mewujudkan satu teknik yang dikenali sebagai kepintaran buatan. Kepintaran buatan ialah satu teknik memindahkan kepintaran yang dimiliki oleh manusia kepada mesin. Ini membolehkan mesin itu bertindak tanpa bantuan manusia sepenuhnya. Namun begitu, apakah perkaitan teknologi ini dengan bidan ekonomi dan pengurusan?. Bidang pengurusan tidak tertakluk kepada bidang perniagaan semata-mata tetapi ia merangkumi banyak aspek seperti pengurusan data, pengurusan pangkalan data, pengurusan pembuatan keputusan dan banyak lagi.




Artikel ini cuba mengupas hasil beberapa kajian melalui pembacaan yang berkaitan dengan aplikasi kepintaran buatan dalam konteks pengurusan dan ekonomi.

Di Malaysia, aplikasi ini telah mula bertapak dan sedang giat diperluaskan. Melalui pembacaan, aplikasi kepintaran buatan dalam perspektif pengurusan ini telah lama wujud di dunia. Jika kita lihat Model yang direka oleh Hoffman telah merekabentuk sistem pemodelan pengeluaran untuk ativiti penjualan minyak. Menurut Blanning, beliau telah membangunkan satu pemproses pertanyaan bahasa tabii untuk model pembuatan keputusan dalam bidang ekonomi dan Iwasiecko telah membangunkan sistem pakar dalam bidang perbankan untuk membuat keputusan pinjaman wang. Antara bidang lain yang mengaplikasikan teknik kepintaran buatan ialah penilaian kad kredit, bursa saham, pengurusan inventori, analisis model ekonomi, insurans dan banyak lagi. Satu lagi aplikasi kepintaran buatan yang digunakan ialah teknik perlombongan data (data mining) yang banyak digunakan dalam pembuatan keputusan.

Sistem Pakar

Sistem pakar merupakan salah satu aplikasi kepintaran buatan yang telah lama wujud. Teknologi ini hasil daripada pemindahan kepakaran manusia kepada komputer di mana ia melalui beberapa fasa dalam penghasilan sistem ini. Aplikasi sistem pakar banyak dalam bidang pembuatan keputusan. Sistem pakar juga dikenali sebagai sistem berasaskan pengetahuan yang mempunyai tiga komponen utama iaitu, Pangkalan Pengetahuan, Enjin Penakbiran, Antaramuka Pengguna. Pada masa kini, teknologi ini digabungkan dengan teknologi kepintaran buatan yang lain supaya ia bersifat hibrid dan pembuatan keputusan lebih dinamik dan tepat.

Rangkaian Neural Buatan

Rangkaian neural buatan merupakan teknik hasil inspirasi biologi iaitu neuron. Interpretasi isyarat yang dihasilkan oleh neuron manusia telah menjadikan ia sati idea mewujudkan teknik ini dalam proses membina model ramalan berdasarkan pengiraan matematik. Teknik ini merupakan alternatif dalam statistik di mana ia banyak diaplikasikan dalam pembinaan model ramalan seperti model ramalan harga bursa saham, penilaian stok, dan model peramalan ekonomi. Rangkaian neural mempunyai banyak variasi algoritma mengikut jenis masalah yang hendak diselesaikan. Antara algoritma yang polular ialah Multi-layer Perceptron, Radial Basis Function, Kohonen Feature Maps, Hopfields Nets dan lain-lain.

Algoritma Genetik

Algoritma Genetik di perkenalkan oleh John Holand berdasarkan teori darwin dalam proses evolusi. Teknik menyatakan bahawa proses evolusi boleh menghasilkan satu objek baru yang lebih berpotensi dan baik berbanding dengan induknya.Ia juga hasil dari inspirasi biologi iaitu proses evolusi biologi organisma hidup. Di antara aplikasi yang banyak dihasilkan dalam teknik ini ialah proses pengoptimuman jadual kerja (job scheduling), pembentukan kumpulan dan lain-lain.

Perlombongan Data

Perlombongan data merupakan satu teknik yang berhadapan dengan pengurusan data dan maklumat. Sesebuah organisasi pada masa kini banyak menyimpan data dalam jumlah yang besar. Oleh itu, teknik ini sesuai dalam proses menguruskan data dalam amoun yang besar. Perlombongan data akan menghasilkan satu corak yang membolehkan data itu dikategorikan secara automatik dan ia akan memudahkan proses capaian data dan pembuatan keputusan. Antara algoritma yang popular dalam bidang ini ialah Association Rules, Market-basket Analysis, Decision Tree, Clustering dan lain-lain. Ianya banyak diaplikasikan dalam E-dagang. Jenis-jenis sistem maklumat yang mengaplikasi teknik kepintaran buatan.

Terdapat beberapa jenis sistem maklumat yang mengaplikasikan teknik kepintaran buatan iaitu:-

i) Sistem Sokongan Pembuatan Keputusan (Decision Support System) Sistem Sokongan Pembuatan Keputusan melibatkan pengurus membuat strategi jangka panjang dan penyelesaian masalah kompleks yang saling berkait diantara satu sama lain.

ii) Sistem Pakar (Expert System)
Sistem Pakar seperti disebutkan di atas, melibatkan pembuatan keputusan. Selain dari itu ia juga terlibat membantu dalam proses diagnosis, kawalan dalaman serta mampu menjejak semula proses keputusan yang dibuat.

iii) Pengkomputeran Neural (Neural Computing)
Pengkomputeran Neural pula terlibat dalam penghasilan model ramalan, penyelesaian masalah kompleks, keputusan yang berulangan (repetitive decision), kawalan pelaburan, permohonan pinjaman bank.

iv) Sistem Pengurusan Pengetahuan (Knowledge Management System) Sistem ini terlibat dalam pembuatan keputusan dalam membuat perubahan persekitaran organisasi seperti sumber manusia, penjawatan.

Kini, aplikasi kepintaran buatan dalam bidang pengurusan dan ekonomi telah semakin banyak digunakan dan diperluaskan dalam bidang-bidang yang lain seperti perundangan dan hiburan. Oleh itu, peningkatan pengetahuan pengguna mengenai teknologi ini perlulah seiring dengan perkembangan teknologi yang digunakan bagi memastikan ianya berfungsi mengikut keperluan organisasi serta membantu dalam membangunkan negara.



Note: gambar Sekadar Hiasan"

1 komentar:

Unknown mengatakan...

saya yulia, ingin bertanya
apa perbedaas sistem pengambilan keputusan dengan sistem pakar?
bukankah kedua-duanya sama2 membantu membuat keputusan?

Diberdayakan oleh Blogger.